Gelugor kedai; Travelog Al-Infaq kali ini benar-benar menyentuh hati, menziarahi sepasang suami isteri bersama 5 orang anak berusia 3 tahun sehingga 18 tahun.
Setibanya kami di sana, terhincut-hincut si isteri membantu kami membawa barang sumbangan. Terdetik juga di hati ingin bertanya namun dipendamkan dulu dan terus masuk ke dalam rumah.
Duduk sahaja kami di dalam rumah, tak henti-henti Puan Roziah, 40 tahun mengucapkan syukur dan terima kasih atas sumbangan. Duit langsung tiada dalam tangan katanya. Dan memohon maaf pada kami kerana tidak boleh menghidangkan air kerana tiada gula.
Anak-anak yang masih kecil pula berusia 3 dan 4 tahun bersungguh mendapatkan barang yang kami bawa. Menggoncang-goncang kotak santan yang disangkakan air kotak dan membuka tin sardin. Bila disoal rupa-rupanya mereka belum lagi makan walaupun jam sudah hampir pukul 12 tengahari.
“Kak cuma buat bubur kosong sebab tiada lauk untuk alas perut beberapa hari ni. Tapi kasihan pada anak-anak bila berkata masih lapar. Mereka belum mengerti ibunya susah”. Ujar Puan Roziah sambil lap air mata.
Tanpa berfikir panjang, terus kami keluar ke kereta mendapatkan makanan-makanan yang ada dan membeli beberapa air kotak untuk diberikan kepada anak-anak kecil itu. Sungguh benar-benar jelas terpancar raut wajah gembira mereka apabila ada sesuatu untuk dimakan walaupun cuma sekadar makanan-makanan ringan. Demi Allah, benar-benar tersentuh hati melihat keadaan mereka.
Sambil melihat anak-anak kecil makan, kami berbual dengan si ibu untuk tahu lebih lanjut keadaan mereka.
Suami, 38 tahun menghidap penyakit athma yg serius sehingga pernah beberapa kali terhenti pernafasan.
“Pernah baru-baru ini jantung suami terhenti 3 minit. Sy ingat dia sudah tiada”, ujarnya
Dulu suami bekerja di kedai tayar namun disebabkan penyakit yang semakin teruk terpaksa berehat di rumah dan tugas menyara keluarga tergalas sepenuhnya kepada si isteri dengan hanya mengambil upah membersih rumah orang dengan upah sekadar RM30 jika ada permintaan.
“Sekarang hampir seminggu tidak bekerja, motor rosak dan tak dapat pergi ke mana-mana,”ujarnya.
Selain suami yang sakit teruk, beliau juga menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan gout. Disebabkan itulah beliau berjalan terhincut-hincut semasa membantu kami mengangkat barang.
Kami dari Al-Infaq menyeru orang ramai untuk sama-sama membantu meringankan beban mereka. Walaupun sedikit yang kita sumbangkan tetapi sesungguhnya besar buat mereka.
اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ
“Jagalah kalian dari api neraka, meski hanya dengan bersedekah sepotong kurma”
Hadith sahih Bukhari dan Muslim
“Al-Infaq, easing the upper and lower hands”